Oleh Kartini Aboo Talib @ Khalid
Kehadiran delegasi Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke Victoria University of Wellington (VUW), New Zealand pada 8 Julai 2026 disambut dengan penuh tazim, dan hormat.
Delegasi UMS diketuai oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor bersama-sama dengan Pengarah Pejabat Canselor, Encik Hasmi Hashim; Pegawai Khas Naib Canselor, Mohd Khairuddin Ahmad; Datin Aidah Mohd Ali, diiringi oleh pegawai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, Puan Nahdzatul Hilmi Abdullah dan Encik Abdul Hafiz Ampuan Tajudin.
Ketibaan delegasi UMS telah disambut dan diraikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar VUW, Dr Logan Bannister, bersama pejabat hubungan antarabangsa yang terdiri daripada Timbalan Pengarah Pelibatan Global, Djhoanna Lambert; Pengarah Pengambilan Antarabangsa, Roger Armstrong; Pengarah Pengambilan Antarabangsa (Asia Tenggara, Jepun, New Zealand, Australia) dan Cik Nabilah Faridz, Koordinator Lawatan dan Pelibatan Antarabangsa.
Turut serta dalam perjumpaan tersebut Pejabat Penyelidikan VUW, iaitu Liz Prendergast, Pengarah Penyelidikan, Katy Miller Pegawai Strategik Kanan, dan Dr Talia Crockett, Penasihat Penyelidikan Antarabangsa.
Penulis juga diundang hadir ke majlis tersebut dan secara tidak langsung turut meraikan rakan jaringan ilmu dari UMS yang telah sekian lama menjadi rakan akademik analisis menerusi pelbagai platform ilmu termasuklah geran Kementerian Pengajian Tinggi.
Geran seperti Fundamental Research Grant Scheme, Translational Research Grant Scheme, Longterm Research Grant Scheme; Projek Perundingan Kebangsaan seperti Kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas), pemeriksa luar tesis, penilai audit program, persidangan, penerbitan, dan sebagainya.
UMS telah menyatakan hasrat untuk membina jaringan antarabangsa menerui Letter of Intent dan mengundang wakil VUW untuk hadir ke UMS bagi menandatangani Memorandum Persefahaman (Memorandum of Understanding).

Dalam pertemuan tersebut, perkongsian video korporat menonjolkan pencapaian dan kelestarian UMS sebagai universiti tersohor dalam bidang marin laut dan konservasi kelestarian ekosistem alam semulajadi begitu menguja, tepat dan padat dengan nilai peradaban ilmu serta komersil.
Perwakilan VUW, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia dan penulis sendiri terpesona dengan tayangan video yang dikongsikan. Pihak VUW menyatakan minat yang cukup mendalam untuk melawat kampus UMS di Sabah dan menyambut dengan penuh wibawa jalinan kerjasama tersebut.
Selesai perbincangan awal dan sesi suai kenal, Naib Canselor dan rakan iringan dibawa keliling kampus di Pipitea, VUW untuk mengenali bangunan awal dan satu-satunya bangunan Fakulti Undang-Undang VUW, yang dibina daripada kayu sejak kurun 1900 dan kekal hingga kini.
Jalan cerita yang penuh informasi dengan gelagat lucu oleh Roger Armstrong membuatkan semua delegasi rasa terhibur dalam kesejukan musim dingin di Wellington. Setelah itu, delegasi diraikan dengan makan tengah hari di Restoran The Long Bar on Brandon, antara restoran yang menyediakan hidangan halal, dimiliki oleh usahawan berbangsa Cina dari Johor, Malaysia.

“Waktu tersebut membuka ruang dan peluang untuk saling mengenali, menghargai makanan Malaysia yang rencam dan menikmatinya tanpa rasa ragu.”
Selesai makan tengah hari, delegasi bergerak kembali ke Kampus Pipitea bagi mendengarkan Syarahan Umum Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj Mansor, iaitu Bridging Asia and New Zealand: Trade, Global Disruptions and the Human Capital Imperative for Future Economic Cooperation.
Pembentangan tersebut sarat dengan pengenalan mengenai UMS sebagai pusat ilmu atau “Brain of Borneo” yang menawarkan kemahiran dan keunggulan ilmu bagi pemerkasaan modal insan dan teknologi masa depan.
Selain itu, beliau juga mengutarakan isu berkenaan hubungan dagang, konflik di Asia Barat dan perbandingan modal insan bagi kerjasama masa depan dalam bidang ekonomi serta sumber manusia telah menarik minat para pendengar yang hadir.
“Kerjasama berasaskan transaksi dagangan akan kekal berdaya saing walaupun dunia diamuk dengan konflik luar jangka di peringkat global, cabaran transformasi digital, dan tekanan kelestarian Sustainable Development Goal (SDG) dalam setiap aspek industri, pengilangan, pengeluaran dan keseimbangan kesejahteraan hidup”
Syarahan tersebut telah membuka ruang pemikiran untuk memperkukuh inovasi, bakat dan kemahiran, keupayaan digital dan teknologi, mobiliti pendidikan menerusi penyelidikan dan program pertukaran tenaga pakar yang akan memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan New Zealand.

Ibarat menuntut ilmu, selaut garam terasa manis perkongsian tersebut membuka banyak mata akan kelebihan sumber alam dan kearifan lokal di Sabah yang perlu diterokai dan dijelajahi dengan penuh rasa kesyukuran.
Betapa kekayaan bumi Sabah berupaya muncul sebagai satelit yang menerajui dengan gagah kemakmuran di wilayah timur Malaysia dan mampu bersaing dengan Indonesia menerusi Kalimantan sebagai ibu kota baru menggantikan Jakarta.
Syabas dan setinggi-tinggi tahniah buat Universiti Malaysia Sabah atas pencapaian dan usaha sama jaringan antarabangsa ini.
Sumber Artikel:
Artikel ini ditulis oleh Prof. Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid, Penyandang Kursi Pengajian Malaysia di Victoria University of Wellington, New Zealand, dan Felo Utama di Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Artikel ini diterbitkan semula dengan kebenaran penulis. Versi asal artikel telah diterbitkan oleh Dewan Budaya (DBP) pada 17 Ogos 2026 dan boleh diakses di:
https://dewanbudaya.jendeladbp.my/2026/08/17/16344/
